9 Selebriti Yang Berhijrah Menjadi Inspirasi Ramai Wanita



Dari hari ke hari semakin ramai selebriti wanita dilihat mula berhijrah ke arah yang lebih baik. Penghijrahan mereka pula bukan sekadar mengenakan hijab, tetapi penghijrahan yang menyeluruh dan istiqamah.

Penghijrahan selebriti-selebriti ini memang wajar diberikan perhatian supaya dapat memberikan inspirasi buat wanita-wanita Muslim yang ingin berubah ke arah yang lebih baik. Oleh itu, ini sembilan selebriti yang berhijrah menjadi inspirasi ramai wanita.

1. Mizz Nina

Kisah penghijrahan Mizz Nina bermula selepas perkahwinannya dengan Noh Hujan dan sesudah pulang mengerjakan haji pada 2013 bersama keluarga. Sejak penghijrahannya, Mizz Nina tidak lagi menyanyi, tetapi banyak tampil dalam rancangan ilmiah yang berunsurkan keagamaan serta melibatkan diri dalam misi bantuan kemanusiaan bersama-sama suaminya. Selain itu, dia juga banyak menghadiri majlis ilmu untuk kenali Islam dengan lebih mendalam.



2. Diana Amir

Menceritakan mengenai penghijrahannya, dia mula berubah selepas mendengar cerita rakannya yang baru berhijrah mengenai Rasulullah dan terus terdetik untuk menutup aurat kerana sayangkan ayahnya dan tidak mahu menyusahkannya di akhirat kelak. Seperti Mizz Nina, Diana juga turut melibatkan diri dalam program ilmu keagamaan di televisyen serta menjadi ahli Usrah Fitrah yang turut dihadiri rakan artis lain.



3. Irma Hasmie

Irma Hasmie pernah memberitahu bahawa penghijrahan yang dilakukan bersandarkan kesedaran yang tercetus dalam hatinya. Dia juga merasakan sudah tiba waktu untuk dia berpakaian menutup aurat dan kemudian terdetik untuk menunaikan umrah walaupun bimbang sekiranya ibadahnya tidak diterima. Dia juga mengaku lebih tenang dan bahagia selepas penghijrahannya.



4. Natasha Hudson

Pelakon kacukan Melayu-Australia ini mengalami pelbagai cabaran dalam hidup serta pergolakan yang berlaku termasuklah penceraian rumah tangganya. Dia kemudian bertemu dengan bakal suaminya yang ketika itu memberikan hadiah tiket penerbangan ke Mekah. Di situlah dia mula bertaubat dan menyembuhkan luka yang lama. Natasha juga banyak menghadiri majlis-majlis agama untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.



5. Catriona Ross

Kisah penghijrahan Catriona Ross sangat namun sangat bermakna. Semuanya bermula apabila dia menemani rakannya ke sebuah butik tudung. Sambil menunggu rakannya. dia tergerak hati untuk mencuba tudung dan ketika melihat wajahnya di cermin, tiba-tiba datang satu perasaan pelik sehingga bergenang air mata dan mengambil keputusan untuk memakai tudung.



6. Abby Abadi

Abby Abadi mengaku nekad memakai tudung semasa di Mekah dan berdoa supaya Allah menetapkan iman untuk istiqamah dalam penghijrahannya. Kata Abby, dia sebelum ini pernah memasang niat untuk ke Tanah Suci, namun, banyak hal yang timbul termasuklah visa tidak diluluskan. Abby juga menceritakan tentang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan selepas menunaikan umrah.



7. Yatt Hamzah

Yatt memberitahu penghijrahannya bermula selepas mengikuti rakannnya menghadiri usrah yang berjaya menimbulkan keinsafan dirinya kerana sering mengabaikan solat serta mendedahkan aurat. Katanya, setiba di rumah, dia terus menunaikan solat taubat dan pada rakaat terakhir, dia tidak dapat mengangkat kepalanya serta mengakui terlihat jelas keadaan wanita yang mendedahkan aurat diseksa di neraka. Dia kemudian terus sujud memohon keampunan sambil menangis.



8. Wardina Safiyyah

Pelakon tanah air ini memang terkenal dengan wajahnya yang cantik. Wardina pernah memberitahu bahawa dia merasakan sesuatu yang aneh sebaik sahaja melihat Kaabah dan bermula dari situ, dia mula melakukan perubahan sedikit demi sedikit bermula dengan tidak meninggalkan solat wajib lima waktu dan kemudian menzahirkan keinginan untuk mula mengenakan hijab.




9. Abby Fana

Ramai pihak yang memuji perubahan imej pengacara terkenal, Abby Fana. Dia memilih untuk melakukan penghijrahan sekembali menunaikan haji. Abby Fana atau nama sebenarnya Habsah Omar merupakan seorang yang sederhana serta bebas kontroversi. Dia memberitahu pernah mengalami kemurungan dan mendapat bantuan profesional yang mengingatkannya supaya mendekatkan diri kepada Tuhan serta mencari kebahagiaan ke arah pengisian rohani.



Penghijrahan selebriti-selebriti ini dihebahkan bukanlah dengan niat untuk menunjuk, jauh sekali nak mengatakan diri mereka yang terbaik tetapi hanyalah sekadar perkongsian ringkas agar dapat menjadi inspirasi buat wanita di luar sana untuk mencari jalan Allah selain terus istiqamah walaupun dengan pelbagai cabaran yang mendatang.




Soruce:https://lobakmerah.com/9-selebriti-yang-berhijrah-menjadi-inspirasi-ramai-wanita/
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==