Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim meluahkan rasa kecewanya terhadap segelintir rakyat Malaysia yang mengambil keputusan untuk berada di luar negara semasa hari mengundi pada Rabu.
Azrinaz yang baru bergelar isteri kepada kenalan lamanya pada 1 Mei lalu terkejut melihat gambar-gambar pihak berkenaan di luar negara yang dimuat naik di media sosial.
“Meluat melihat segelintir rakyat Malaysia yang memilih keluar dari negara ini pada hari yang sangat penting.
“Saya terkejut, mereka dengan bangganya memuat naik gambar-gambar yang menunjukkan mereka meluangkan masa tanpa rasa bersalah kerana tidak mengundi,” katanya menerusi luahannya di akaun Instagramnya pada Rabu.
Luahan itu disertakan gambarnya bersama kedua ibu bapanya, menunjukkan jari telunjuk masing-masing yang dicelup dengan dakwat kekal selepas mengundi.
Selain itu, Azrinaz turut mempersoalkan sensitiviti golongan berkenaan yang tidak peka untuk mengundi, dan paling menyedihkan apabila ada yang gagal mendaftar sebagai pengundi.
“Sungguh memalukan melihat nama anda 'didaftarkan' (masuk) hampir di setiap kelab malam. Memalukan anda boleh berada di London, NY (New York) atau (Las) Vegas menghadiri pertunjukan fesyen dan berpakaian cantik dari atas ke bawah tetapi anda gagal berusaha untuk mengundi.
“Ia menunjukkan betapa tidak bertanggungjawabnya anda. Untuk itu, anda telah hilang rasa hormat saya,” katanya sambil menambah, malahan ibu bapanya pada usia 70-an sedia beratur di bawah cuaca panas terik untuk mengundi.
“Apa alasan anda?,” soal Azrinaz sambil memberitahu dia telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Luahan Azrinaz yang dikongsikan secara umum itu tanpa menyebut mana-mana individu tertentu.
Azrinaz bernikah dengan Fairos Khan Abdul Hamid, sahabat yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu dengan sekali lafaz pada 1 Mei lalu.
Mereka yang sama-sama bertugas di TV3 sebelum ini, mula menjalin hubungan rapat sejak setahun lalu.
Sumber : Mstar